Khamis, 7 September 2017

sanggup beratur panjang seawal pukul 6.30 pagi ini untuk membeli ayam segar yang dijual pada harga RM1 seekor




SUNGAI PETANI - Lebih 300 penduduk di sekitar bandar ini sanggup beratur panjang seawal pukul 6.30 pagi ini untuk membeli ayam segar yang dijual pada harga RM1 seekor sempena pembukaan cawangan baharu Ayam Bismi oleh syarikat Kumpulan Bismi di Pekan Baru di sini.
Pembukaan cawangan baharu itu dijadual bermula pukul 7.30 pagi namun orang ramai tidak mahu melepaskan peluang untuk membeli ayam dengan harga RM1 seekor itu yang ditawarkan kepada 100 pelanggan terawal sahaja.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bismi, Mazlina Kamarudin berkata, pihaknya tidak menyangka jualan ayam tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan apabila bekalan ayam untuk 100 pelanggan terawal habis tidak sampai satu jam.
Menurutnya, kebanyakan ayam yang dijual dengan harga RM1 seekor itu seberat kira-kira tiga kilogram dan kebiasaannya ayam tersebut dijual pada harga RM20 seekor ke atas di pasaran.
"Jualan murah itu juga adalah sebahagian daripada program Huluran Sayang yang dijalankan Kumpulan Ismi bagi membantu orang ramai mendapatkan ayam segar pada harga murah di samping berkongsi keuntungan dengan pelanggan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Cawangan baharu Ayam Bismi di Pekan Baru itu merupakan yang keenam di negeri ini.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, orang ramai yang tidak sempat untuk membeli ayam segar dengan harga istimewa itu masih berpeluang mendapatkannya di cawangan tersebut pada harga murah iaitu RM5.99 sekilogram berbanding RM7 hingga RM8 sekilogram di pasaran. -