Rabu, 6 September 2017

KUALA LUMPUR - Misteri kehilangan kanak-kanak lelaki yang di sangka disembunyi oleh mahluk halus akhirnya terbongkar.........




Kuala Lumpur: Misteri kehilangan kanak-kanak lelaki dari kediamannya di Blok A, PPR Pekan Batu, Jalan Ipoh, di sini, tengah hari kelmarin, terjawab apabila mangsa ditemui sedang tidur kira-kira jam 7.30 malam di tepi tangga Blok B, PPR sama.

Kanak-kanak berusia empat tahun itu disedari hilang dari rumah keluarganya kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum ditemui penduduk setempat pada hari sama.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Superintendan Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa berkata, ibu kanak-kanak itu dimaklumkan berhubung kehilangan ‘mangsa’ oleh seorang lagi anak lelakinya ketika berada di tempat kerja.

“Abang mangsa mendapati adiknya tiada di rumah selepas pulang dari sebuah bengkel kereta. Kali terakhir kanak-kanak itu dilihat pada jam 10.30 pagi ketika sedang tidur di dalam salah sebuah bilik bersama adik-beradik lain.

“Ibu kanak-kanak itu yang bimbang sesuatu tidak baik berlaku bergegas pulang ke rumah dan berusaha mencari giat anaknya,” katanya.

Malah seorang lelaki memuat naik status di laman sosial Facebook mendakwa dia bersama ahli keluarga kanak-kanak itu sedang berusaha mencari mangsa.

Lelaki yang menggunakan nama Gulam Muszaffar turut memuat naik gambar kanak-kanak terbabit untuk rujukan orang ramai yang menemuinya.

Mohamed Rafiq berkata, kanak-kanak itu bagaimanapun ditemui penduduk sedang tidur di tepi tangga berhampiran lif di blok lain kira-kira jam 7.30 malam.