Ahad, 7 Mei 2017

Sungai Kempas dan Sungai Timun di Port Dickson turut menjadi kunjungan kaki pancing yang memburu udang galah, ikan baung dan belukang















JETI Sungai Kempas menjadi tumpuan kaki pancing.

KUALA LUMPUR: Sebut saja udang galah (Macrobrachium rosenbergii), pasti kaki pancing akan terbayang beberapa lokasi menarik di sungai utama yang menjadi lubuk si sepit biru itu. Antaranya Bukit Kepong di Sungai Muar, Kedaik (Sungai Rompin), Kampung Kuantan (Kuala Selangor), Teluk Intan (Sungai Perak) dan lain-lain.

Bagaimanapun tidak dinafikan Sungai Kempas dan Sungai Timun di Port Dickson turut menjadi kunjungan kaki pancing dalam memburu udang galah. Malah, rata-rata pemancing yang pernah ke situ mengakui udang galah di kedua-dua sungai berkenaan adalah antara terbaik.


Untuk mendapatkan tangkapan lumayan, pemancing disarankan memancing di atas bot. Ini memudahkan mereka bergerak dan mencari lubuk sesuai. Berbanding memancing di atas tebing sungai, ia adalah terhad dan pemancing tidak merasai pengalaman sebenar.

Bagi mereka yang pernah menjejakkan kaki ke Sungai Kempas, terdapat sebuah jeti di hadapan Pekan Pangkalan Kempas sebagai kemudahan penduduk tempatan, nelayan dan kaki pancing mencari rezeki. Jeti kayu bertiang batu konkrit itu dibina lebih daripada 10 tahun lalu oleh kerajaan negeri bagi merangsangkan ekonomi penduduk setempat.


Bagi pengusaha bot, Ah Lam, dulu terdapat sebuah jeti kayu dibina penduduk tetapi roboh akibat dipukul arus deras Sungai Kempas terutama musim tengkujuh apabila air naik hingga ke tebing sungai.
                             pemancing dihiburkan  dengan nyanyian karaoke
                                                pada sebelah malam sahaja.

“Jeti inilah yang menjadi sumber pendapatan kami bagi menyewa bot kepada pemancing dengan kadar RM15 sehari bagi bot gentian kaca sepanjang 13 kaki dan RM25 (19 kaki). Selain memancing, beberapa pengusaha lain turut menyewa bot untuk orang ramai bersiar-siar melihat hutan bakau serta alam semula jadi di sepanjang kedua-dua sungai itu.

“Saya difahamkan orang bandar (Kuala Lumpur, Selangor dan Singapura) selalu datang ke sini untuk melihat keindahan kerlipan kunang-kunang kepada pelancong di Sungai Timun. Kebiasaannya mereka naik bot waktu senja dan pulang tiga atau empat jam kemudian. Ada juga datang mahu tengok buaya,” katanya.

Kehadiran kaki pancing di sini ialah untuk menduga kira-kira 50 lubuk menarik yang dihuni udang galah di sepanjang Sungai Kempas iaitu yang menganjur tiga kilometer ke selatan dari jeti Pangkalan Kempas sehingga ke simpang tiga ke Sungai Timun dan dua kilometer ke utara.

Hendak memancing di Sungai Kempas perlu mengetahui keadaan cuaca dan jangan sesekali turun ke sungai sekiranya Bandar

Seremban hujan kerana air yang mengalir akan masuk ke sungai itu. Air yang membawa lumpur menyebabkan sungai berkeladak serta sejuk. Akibatnya udang galah lebih suka bersembunyi di sarang.

Selain udang galah, ikan baung dan belukang turut menghuni sungai berkenaan. Sekiranya air pasang pemancing turut memperoleh gelama.

Mereka yang ingin memancing di Sungai Kempas boleh menghubungi Ah Lam: 019-3954606.