Ahad, 19 Mac 2017

Dua penerima tangan 3D Puteri Nurdini Abdullah, 8, dan Nur Faqihah Maisarah Azmi, 10, masing-masing mengalami kecacatan di tangan sejak dilahirkan.












            Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bersama Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pasir Gudang bekerjasama dengan Myvista, syarikat yang menghasilkan tangan berasaskan teknologi 3D bertujuan mempertingkatkan rekaan dan fungsi alat berkenaan.

Penyelidikan selama dua tahun itu dijangka membabitkan geran RM500,000 dengan 10 penyelidik dari UTM dan lima kakitangan ILP Pasir Gudang.

Pengarah Kanan Institut Kejuruteraan Berfokuskan Manusia (IHCE) UTM Prof Dr Abdul Hafidz Omar berkata, penyelidikan itu diharap dapat mempertingkatkan fungsi tangan 3D sedia ada yang dihasilkan Ketua Pegawai Eksekutif Myvista Sujana Mohd Rejab pada 2015 ke tahap optimum.


“Kami sambut baik kerjasama daripada Myvista dan usaha ini merealisasikan sasarannya, sekali gus membantu lebih ramai golongan yang memerlukan tangan 3D.

“Setakat ini, rekaan tangan 3D ini boleh dikawal pergerakannya menggunakan motor elektronik dan kami mahu mempertingkatkan prestasinya daripada segi kepenggunaan khusus dalam sistem elektronik, pengesanan otot dan penghasilan deria.

“Selepas perbincangan, UTM bersama ILP Pasir Gudang dan Myvista mengadakan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) secara rasmi untuk projek penyelidikan ini dalam masa tiga bulan lagi,” katanya selepas majlis penyerahan tangan 3D kepada dua kanak-kanak di UTM, semalam.

Dua penerima, Puteri Nurdini Abdullah, 8, dan Nur Faqihah Maisarah Azmi, 10, masing-masing mengalami kecacatan di tangan sejak dilahirkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan