KOTA BHARU, : SIFAT berani yang ditunjukkan oleh seorang
gadis sunti bernama Su, patut dipuji berbanding dengan
gadis-gadis yang lain. Ini kerana, sebuah rumah sewa yang
terletak di Lorong Meranti, Pengkalan Chepa dekat sini
sememangnya bermisteri dan mengusik setiap kali
menjelang malam. Bagi gadis lain mungkin malah lelaki
sendiri pun apabila mengetahui keadaan rumah sewa
berkenaan mengusik tentunya akan cabut lari atau pindah
dari situ, namun tidak bagi Su malah sanggup tinggal
sendirian walaupun rakan-rakan yang pernah menyewa
bersamanya terus angkat kaki kerana tidak tahan dengan
karenah makhluk halus yang turut mendiami rumah sewa
tersebut.
seorang gadis sunti bernama Su ketika menceritakan
pengalamannya
Menurut Su, sebelum ini dia tinggal bersama seorang rakannya
yang bernama Mek Ti. Tetapi kini, Mek Ti telah berpindah dari
rumah tersebut bukan sahaja atas alasan akan berkahwin tetapi
disebabkan tidak tahan dengan pelbagai gangguan yang berlaku
di rumah tersebut.
Di permulaan menyewa di situ, tiada apa-apa yang berlaku di
rumah tersebut walaupun rakannya itu menyatakan bahawa
sebuah bilik di dalam rumah itu pernah dijadikan tempat
pemujaan oleh pemiliknya. Selang beberapa hari selepas itu,
telinganya mula menangkap beberapa bunyi yang pelik-pelik
di persekitaran rumah sewanya itu, seperti bunyi tapak kaki
orang berjalan di luar serta di atas bumbung rumah silih
berganti. Namun apabila diperhatikan, tiada apa-apa pun yang kelihatan.Situasi ini seringkali berlaku di waktu larut malam
iaitu kira-kira jam 3.00 pagi menyebabkan tidurnya terganggu.
ruangan bilik air selalu kedengaran seperti orang mndi
Pada hari berikutnya, mata kasarnya mula dapat mengesan
kehadiran susuk lembaga seperti manusia, berwajah bulat dan
mempunyai hidung yang agak panjang. Diikuti penemuan satu
kain putih bergerak-gerak dalam rumah tersebut seperti ada
tubuh yang memakainya serta lembaga berambut panjang hingga
bawah lutut sedang duduk bersila tetapi kakinya tidak kelihatan.
Disebabkan gangguan itu tidak putus-putus dialaminya, dia cuba mendapatkan khidmat seorang bomoh bagi mengatasi masalah
yang sedang dihadapinya. Menurut bomoh tersebut, makhluk
halus yang mengganggu mereka itu adalah hantu raya yang
dipuja oleh pemilik rumah sewanya itu.
Dikatakan juga, hantu raya tersebut pernah menyerupai wajah
dan tubuh badan tunang kepada Mek Ti. Pada mulanya dia
gembira apabila mengetahui tunangnya datang untuk
menemuinya, namun apabila disapa berkali-kali tanpa
jawapan daripada tunangnya itu, Mek Ti mula kehairanan.
Malah ketika cuba menghulurkan tangan untuk memegang
tunangnya, dengan tiba-tiba sahaja tunangnya itu melarikan
diri dan terus bertukar kepada rupa binatang.
Dari jelmaan seekor binatang, makhluk itu kemudiannya
tunduk lalu menjelma seperti seekor beruk yang hodoh.
Namun, dia tidak dapat melihat wajah makhluk itu.
Biarpun begitu, kelihatan jari-jemari makhluk itu agak
panjang sambil menyikat rambutnya yang juga panjang.
"Bukan itu sahaja gangguan yang kami hadapi. Su pernah
beberapa kali mendengar suara orang sedang menangis,
orang tua sedang batuk dan pernah juga Su melihat rambut
yang begitu panjang melayang-layang di dalam rumah ini",
terang Su.
Menurut Su lagi, sebelum ini rumah sewanya itu didiami oleh
warga Kemboja tetapi hanya kekal selama dua bulan sahaja
kerana tidak tahan dengan gangguan tersebut. Ini disebabkan
anaknya sering menangis tidak mengira waktu seolah-olah
nampak lembaga di rumah itu.
Biarpun kini gangguan tersebut semakin berkurang, tidak
bermakna ia sudah tiada lagi. Gangguan itu tetap ada
apabila dia sekali lagi ternampak rambut melayang-layang di
dalam rumah selain terdengar bunyi suara orang ketawa dengan
kuat sebelum melihat satu lembaga sedang mengeluarkan
kepala dari leher.
Ditanya tentang fizikal makhluk misteri itu, dia menyatakan
makhluk itu menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa.
Adakalanya ia menyerupai orang tua dan ada masanya
pula ia menyerupai seorang bayi dan tak kurang juga yang
menyerupai seperti binatang. Manakala pakaian lembaga
itu amat selekeh dan kotor. Kainnya koyak dan bertampung
di sana sini.
Tambah Su, keganjilan yang berlaku di dalam rumah sewanya
itu pernah diceritakan kepada tuan rumah berkenaan, namun
tuan rumah menyatakan dakwaannya karut semata-mata.
Keanehan yang berlaku ini bukan sahaja berlaku di dalam
rumah malahan di luar rumah juga turut berlaku. Dia pernah
melihat satu susuk lembaga berhampiran 'pohon cola'
di belakang rumah sewanya. Malah, ada yang mendakwa
pohon cola itu menjadi tempat tinggal makhluk tersebut.
pohon cola yang terletak di belakang rumah sewanya.
Katanya lagi, gangguan-gangguan yang dialaminya itu sering
berlaku pada malam Isnin dan Selasa, kerana didakwa
malam-malam tersebut adalah malam orang memuja
makhluk berkenaan.
Menurut Su, dia tidak bercadang untuk tinggal di rumah
sewa itu dalam tempoh yang agak lama kerana tidak
sanggup berterusan diganggu dan disakat lembaga itu.
Walaupun gangguan itu sudah berkurangan, namun
dia merasakan tidak selesa untuk tinggal di dalam rumah
tersebut dan apabila sampai masanya dia akan berpindah
ke tempat yang lebih aman dari gangguan yang menakutkan
itu.
Rencana dan foto yang tuan ambil ini (ciplakan, curi) dari rencana saya sebagai penulis asalnya berjudul "Misteri Rumah Sewa". Rencana ini telah disiarkan dalam majalah RELATIF: SIRI 01 pada 16.12.2011. Sepatutnya, setiap penulis yang berhemah dan mempunyai etika dalam penulisan hendaklah menulis "sumbernya". Dengan ini, saya minta tuan gugurkan dengan segera sebelum saya buat aduan kepada: 1. Blogspot/Google 2. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 3. Bahagian Hak Cipta, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia 4. Kementerian Dalam Negeri (Bahagian Penerbitan). - AZMI MOHD. SALLEH.
BalasPadam