TUMPAT - Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah Pasir Pekan dirai penuh meriah, malah diarak menaiki kereta mewah sambil diiringi motosikal berkuasa tinggi dan kereta pacuan empat roda pada hari persaraannya.
Jusoh Omar berkata, beliau teruja dengan usaha warga SMKA Falahiah itu apatah lagi ia diadakan pada hari terakhir sesi persekolahan 2016.
Katanya, pada 22 Disember ini, genap 34 tahun, 4 bulan dan 8 hari beliau berkhidmat sebagai seorang guru.
"Sepanjang tempoh itu sebanyak tujuh buah sekolah saya berkhidmat. Tiga dekad saya menempuh cabaran dan dugaan dalam proses tarbiah kepada ribuan pelajar dengan tujuan yang satu iaitu bagi memastikan semua pelajar berjaya.
“Berjaya dalam semua aspek, kokurikulum dan sahsiah unggul. Saya berserah kepada ALLAH SWT semoga segala usaha bakti diterima sebagai amal jariah dan kebajikan yang dapat membantu kesenangan hidup di akhirat nanti,” katanya.
Sekolah pertamanya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Sulaiman Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, pada 1981 dan kemudiannya beliau pulang ke Kelantan dan berkhidmat di SMK Batu Gajah, Tanah Merah pada tahun 1988.
Pada 1992, beliau dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di SMK Lati dan kemudiannya dilantik sebagai pengetua di SMK Seri Intan Machang pada 2006.
Jusoh berkata, selama lima tahun sebagai pengetua di SMKA Falahiah, beliau mempunyai satu visi untuk kecemerlangan sekolah dan warganya.
“Selama lima tahun di sini, melangkah sederap, berjalan seiring senada seirama, sama-sama menempuh suka duka mendukung satu visi untuk cemerlangkan sekolah disayangi.
“Berkat usaha kita bersama, hasilnya banyak untuk kita kenang, dari sekolah SMKA biasa, sama-sama kita angkat ke sekolah kluster, dari sebuah pejabat sekolah biasa kita naik taraf sebagai pejabat ala korporat.
“Dari ruang kosong penuh rumput, kita bina wakaf ilmu yang indah dan dari keputusan SPM biasa kepada keputusan yang menjadi kebanggaan sekolah, PPD Tumpat dan JPN dengan terzahirnya seorang pelajar mendapat 11A+,” katanya.
Menurutnya, dia meletakkan asas kukuh dalam semua bidang di sekolah ini dan berharap para guru meneruskan legasi kecemerlangan di tahun mendatang.
“Terima kasih semua guru-guru di sini, kakitangan sekolah ini dan anak-anak dari tingkatan satu hingga tingkatan enam dari tahun 2012 hingga 2016 kerana bersama demi mencapai visi itu,” katanya.