TANAH MERAH - Hujan yang ada kalanya lebat sejak dua hari lalu menyebabkan beberapa kawasan rendah di 
sekitar daerah ini mula dinaiki air, awal pagi tadi.
Tinjauan mendapati, jalan menghubungkan Kampung Kuala Paku dan Kampung Gual turut ditenggelami air sejak 
awal pagi hingga menyukarkan pergerakan penduduk walaupun masih boleh dilalui kenderaan.
Kawasan rendah yang mula dinaiki air termasuk di Kampung Kulim, Kuala Paku dan Kampung Kijang, namun
 belum ada pusat pemindahan dibuka atau penduduk berpindah.
Paras air di beberapa anak sungai terutama di kawasan Dun Gual Ipoh seperti Sungai Kulim juga didapati sudah
 melimpah naik dan melepasi tebing.
Penduduk Kampung Kulim yang dikenali sebagai mangsa pertama berpindah setiap kali banjir, Mat Ghani Abdul 
Rahman, 55, berkata, dapur rumahnya dimasuki sejak awal pagi semalam susulan hujan berterusan di sebelah malam.
"Memang setiap tahun, kami sekeluarga yang pertama berpindah bila musim banjir dan mangsa banjir terakhir dapat 
balik ke rumah," katanya ketika ditemui, hari ini.
Mat Ghani berkata, dia bersama isteri dan tujuh anak berusia 10 hingga 30 tahun yang tinggal bersama 
kebiasaannya berpindah ke surau tidak jauh dari rumah.
"Bila banjir, jalan keluar untuk pergi pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Kulim selalunya dinaiki air,
 jadi kami terpaksa pindah ke surau.
"Selalunya, paling kurang pun dulu minggu kami terpaksa duduk di surau sebab air di kawasan rumah saya ini lambat
 surut berbanding tempat lain," katanya.