Jumaat, 22 September 2017

KOTA BHARU - belasah ibu yang berumur 70 an kerana tidak diberi wang di kg Lorong Hidayah,............ ............................................. ..........................



KOTA BHARU - Perlakuan biadab seorang lelaki mengheret dan membelasah ibu kerana tidak diberi wang dibalas dengan hukuman penjara setahun oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Majistret, Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Noor Rahman Che Mohd, 32, mengaku bersalah.

Pembantu katering itu didakwa menyebabkan kecederaan kepada ibunya, Noor Aini Yusoff, 70-an, dengan memukul sehingga meninggalkan kesan lebam dalam kejadian di sebuah rumah di Lorong Hidayah, di sini, pada jam 12.30 tengah hari, 15 September lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Hamidah Mahmood, manakala tertuduh diwakili peguam awam.

Pada prosiding itu juga, mangsa memberikan keterangan impak secara bertulis, namun tidak dibacakan kepada umum.

Tertuduh memohon mahkamah meringankan hukumannya kerana perlu menanggung bayinya yang baru berusia 40 hari, serta isteri yang tidak bekerja.

Nik Habri dalam keputusan itu turut menasihatkan tertuduh agar meminta maaf daripada ibunya atas perbuatan itu.

“Ini permintaan ibu kamu mahu saya beri hukuman maksimum. Hukuman ini merupakan balasan kepada kamu, 'bayar cash'. Saya harap kamu ambil pengajaran dan tidak mengulanginya, begitu juga orang lain,” katanya.

Dalam kejadian lalu, Noor Rahman mengamuk selepas mangsa tidak memberikan wang kepadanya dengan mengheretnya ke atas katil dan memukul menggunakan tangan di bahagian badan sebelum membaling botol minyak urut.

Tiga hari sebelum itu tertuduh turut membaling kerusi kepada mangsa selain tidak membenarkan orang lain masuk ke dalam bilik untuk menjenguk wanita warga emas itu. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami sakit dan lebam di kaki dan tangan serta susah untuk bangun.

Tertuduh juga baru keluar dari Penjara Pengkalan Chepa, di sini, pada Julai lalu selepas dipenjarakan setahun atas kesalahan dadah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan