Ahad, 27 Ogos 2017

Rantau Panjang, salah seorang ‘penduduk di Kampung Jalan Padang Majlis Tempatan.. menunjuk sesuatu di dalam parit ...................................................................





HARAPAN penduduk di Kampung Jalan Padang Majlis Tempatan agar pemimpin menyelesaikan masalah air bertakung tidak pernah pudar biarpun ia berlanjutan lebih 20 tahun lalu.

Walaupun pemimpin silih berganti, namun masalah di kampung ini tidak pernah selesai malah semakin serius apabila berlaku pertambahan penduduk dan kepesatan pembangunan di Zon Bebas Cukai.

Penduduk mendakwa kampung yang lebih dikenali Lorong Restoran Osman ini tidak pernah kering walaupun ketika musim kemarau, tahun lalu.


Berbeza dengan kampung lain di Rantau Panjang, air akan mula bertakung menjelang musim tengkujuh iaitu bermula Oktober setiap tahun.

Namun di sini, aktiviti menangkap anak ikan sudah menjadi lumrah bagi kanak-kanak terutama di bawah rumah dan jalan raya yang dipenuhi air.

Pandang tinggi peranan pemimpin

Penduduk, Che Nab Sulaiman, 76, berkata, penduduk memandang tinggi dengan peranan pemimpin-pemimpin di Rantau Panjang, kerana sebelum ini mereka berjaya menyelesaikan masalah perparitan di sini.

Bagi menyelesaikan masalah ini, Che Nab berkata, penduduk pernah mengajukan masalah itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), namun ia masih belum diselesaikan.

“Kami harap PBT ambil tindakan tegas terhadap penduduk yang menimbus longkang sehingga menghalang pergerakan air ke sungai dekat sini.

“Longkang baharu juga perlu dibina bagi memudahkan pengaliran air dan parit sedia ada perlu diselia kerana terlalu banyak sampah terperangkap,” katanya.

Tahan bau busuk selama 20 tahun

Sementara itu, penduduk, Rusdi Nor, 60, berkata, penduduk terpaksa hidu bau busuk selama lebih 20 tahun, malah mereka berisiko menghidap demam denggi kerana kawasan ini dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Menurutnya, sikap masyarakat membuang sampah memburukkan lagi sistem perparitan di kawasan ini.

Walaupun pelbagai aktiviti gotong-royong dijalankan Rusdi berkata, jika sikap membuang sampah merata-rata tidak diubah, masalah ini tidak akan dapat diselesaikan sampai bila-bila.

“Penduduk perlu semai rasa tanggungjawab dengan tidak menghalang aliran air ketika kerja-kerja pembinaan rumah.

“Ia bukan sahaja menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk malah kami malu dengan pelancong yang datang ke Zon Bebas Cukai,” katanya.

Air penuhi jalan

Mek Cik Taib, 80, berkata, penduduk mohon pihak berkenaan menyelesaikan masalah perparitan di kawasan ini kerana takungan air ini menimbulkan bau busuk, masalah pembiakan nyamuk dan mencacatkan pemandangan.

Katanya, ia turut menimbulkan pencemaran bau sepanjang 100 meter di Lorong Pak Su Omar hingga Jalan Mek Yusof.

“Kampung lain, jika banjir ia akan surut selepas tujuh hari, tapi di kampung ini, kami terpaksa berdepan dengan masalah air selama 356 hari.

“Tiap kali kami ajukan masalah ini, mereka hanya tahu cakap ‘nanti kami akan tengok’ atau ‘nanti kami akan ajukan perkara ini kepada pihak berkenaan’, namun sehingga ke hari ini, kami tak lihat apa-apa perkembangan pun,” katanya.

Mek Cik berkata, mereka juga menghadapi masalah tiap kali ke surau kerana air sentiasa memenuhi jalan.

Menurutnya, penduduk menggesa pemimpin di sini turun padang dan ‘berenang’ bersama penduduk ke kawasan terjejas.

Pembangunan tidak terkawal

Che Hasnah Ismail, 74, berkata, penduduk tidak menghalang sebarang pembangunan di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang kerana ia akan menjana ekonomi tempatan.

Namun katanya, pembangunan tanpa pembinaan longkang menyebabkan air terhalang.

“Untung kalu jadi orang kaya, mereka boleh tinggikan rumah maka kediaman mereka tidak akan terjejas dengan air busuk ini.

“Tapi bagi penduduk miskin, mereka bukan saja tak dapat baiki rumah malah tinggal dalam rumah yang dipenuhi air,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Norzila Sulaiman, 54, berkata, pakar pelbagai agensi sepatutnya mengambil pandangan orang lama di kampung ini.

Ini kerana katanya, usaha menyelesaikan masalah ini tanpa pandangan penduduk tempatan boleh mengundang masalah lain.

Sementara itu, Adun Gual Periok, Mohamad Awang berkata, masalah takungan air yang berlaku di kawasan ini dipercayai berpunca daripada sistem perparitan yang tertimbus.

Menurutnya, penduduk diminta tidak menutup longkang atau membina bangunan kekal atas parit yang disediakan sebelum ini.