Isnin, 21 Ogos 2017

Abd Rasid Ismail, 47.diKampung Sri Wangi selangor ,mencipta moto raksasa mengunakan enjin kereta






ORANG Inggeris pun kalau mencipta sesuatu bukannya terus berjaya,” kata Abd Rasid Ismail, 47.

 Semangat itulah yang diambil untuk mencipta ‘raksasa besi’, walaupun sebelum ini mendapat cemuhan dan respons negatif daripada orang ramai termasuk kenalannya sendiri.

Terdahulu, berita yang memaparkan Abd Rasid yang mesra disapa dengan gelaran Acid Welding tular di media sosial setelah dia berjaya mencipta sebuah motosikal daripada besi buruk dengan menggunakan enjin kereta Nissan Skyline RB20.


Abd Rasid berkata, dia tidak mengaku kalah dengan setiap cemuhan walaupun mengambil masa empat tahun untuk ‘mengejutkan’ raksasa besi miliknya itu.

Menurutnya, dia sememangnya minat dengan motosikal dan sudah mencuba banyak kali untuk membuat kelainan dalam ciptaannya serta turut mempunyai beberapa lagi motosikal yang diubahsuai.

“Hampir setiap hari saya cuba ubahsuai motosikal ini dan akhirnya ia berjaya membuka mata mereka yang mencemuh saya selama ini dan saya buktikan ia bukanlah angan-angan sahaja.

“Malah ada yang sebelum ini mencemuh saya mula mendekati dan meminta maaf setelah saya berjaya mentransformasikan rangka buruk menjadi sebuah jentera yang begitu gah, terutamanya pada bunyinya.

“Ada juga yang terkejut dengan gabungan enjin kereta dan besi buruk ini yang mampu menjadi motosikal dan lebih mengejutkan ia mampu bergerak seperti motosikal yang lain,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sri Wangi, di sini.




Motosikal yang dicipta Abd Rasid ini hanyalah untuk suka-suka sahaja dan bukanlah untuk digunakan di atas jalan raya kerana ia agak berbahaya kerana bimbang kehadirannya akan mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

“Jika ada yang berminat menggunakan khidmat saya lazimnya mereka akan membawa enjin dan saya menggunakan kepakaran dan kemahiran menjadikannya sebuah motosikal ‘Bobber’ dengan purata kosnya mencecah RM6,000.