Ahad, 9 April 2017

PASIR PUTEH - Lubuk cacing untuk kaki pancing cacing Panjangnya boleh mencapai sehingga satu meter ia mengeluarkan cahaya seperti pelangi selain baunya yang lebih hanyir berbanding cacing biasa













       PASIR PUTEH  - Sungai Semerak sepanjang 27,670 meter, dekat sini adalah lubuk rezeki kepada beratus nelayan dan kaki pancing 

Malah, tebingnya yang berlumpur kaya dengan hidupan seperti anak-anak ketam dan siput turut menjadi rezeki kepada penduduk setempat.

Bukan itu sahaja, hutan rumbia di sepanjang sungai itu juga menjadi sumber pendapatan kepada penduduk yang mencari sejenis cacing panjang dikenali sebagai 'perumpun' di kawasan itu untuk dijadikan sebagai umpan untuk kaki pancing.

Di sepanjang malam, keadaannya riuh dengan kaki pancing yang memenuhi jambatan Cherang Ruku hinggalah ke ruang yang gelap masih ada insan yang menyelusuri sungai dengan sampan untuk mencari anak-anak udang yang boleh dijual sebagai umpan hidup hinggalah ke awal pagi.

Pencari udang hidup di sungai itu, Wan Mukhaizol Wan Muhammad, 32, berkata, aktiviti menangkap haiwan itu dilakukannya bersama beberapa rakan lain bermula pada pukul 8 malam hingga 12 tengah malam.

Katanya, dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk memasarkan udang tersebut kerana telah menerima tempahan lebih awal dari kaki pancing.

"Anak udang putih dan udang karah mendapat permintaan yang tinggi daripada kaki pancing untuk digunakan sebagai umpan sama ada untuk memancing udang, gelama atau mengumpan siakap di muka kuala.

"Pengalaman menangkap udang sudah mencecah lebih tujuh tahun. Ramai pemancing yang mengenali saya membuat tempahan umpan dengan menghantar mesej pesanan ringkas atau terus menelefon.

"Saya mendapat rezeki hasil bersengkang mata sepanjang malam. Paling tidak sebanyak 300 hingga 400 ekor udang berjaya dibawa pulang untuk diternak semula dalam sangkar khas," katanya ketika ditemui di pesisir Sungai Semerak, dekat sini semalam.

Wan Mukhaizol berkata, dia menerima tempahan bukan dari negeri ini sahaja malah dari kaki pancing di Johor, Pahang dan Terengganu.

Sementara itu, rakannya, Mohd. Saiful Mohamad Nawi, 34, dari Kampung Pintu Gerbang Dalam Rhu, dekat sini berkata, perniagaan udang umpan berpotensi diusahakan kerana ia mendapat permintaan yang baik di pasaran.

"Ia bukanlah memberi keuntungan berterusan sepanjang tahun tetapi banyak bergantung kepada pasang surut air sungai.

"Udang hidup ini dijual mengikut saiz dan gred di antara 40 sen hingga RM1 seekor," katanya.

Sementara itu, bagi pencari perumpun, mereka melalui keadaan yang berbeza, kerja dilakukan pada waktu siang berbanding pencari udang hidup.

Pencari perumpun perlu menjejaki sarangnya di kawasan air payau dan memerlukan kesabaran yang tinggi kerana mereka perlu mencari batang atau pelepah nipah yang reput dan berbau busuk dengan sekitarnya yang masam di sekitar tebing sungai itu.

Seorang penduduk, Tarmizi Yusof, 30, berkata, pemancing amat menggemari umpan ini kerana ia mengeluarkan cahaya seperti pelangi selain baunya yang lebih hanyir berbanding cacing yang dikatakan mampu menarik perhatian ikan.

"Tidak hairanlah harga pasaran bagi dua ekor perumpun sepanjang lebih satu kaki dijual dengan harga RM8 hingga RM10 di kedai yang menjual peralatan memancing," kata.

Dia yang berpengalaman selama 10 tahun dalam bidang itu berkata, kerja tersebut perlu dilakukan secara berkumpulan bagi memastikan keselamatan diri dari ancaman ular berbisa atau sekurang-kurangnya diserang tebuan tanah.

"Haiwan ini sama seperti cacing tetapi memiliki kaki seperti bulu rambu.

"Panjangnya boleh mencapai sehingga satu meter dan amat digemari udang jika mengail di sungai atau muara dan semua spesis ikan jika memancing di laut," katanya.

Tambahnya, perumpun tidak akan mati untuk tempoh satu sehingga dua minggu walaupun badannya dipotong dua asalkan ianya disimpan dalam bekas sesuai yang diisi lumpur dari habitat asalnya.

"Di tebing Sungai Semerak terdapat dua spesies perumpun iaitu yang berwarna merah dan merah gelap. Ia bergantung kepada jenis lumpur habitatnya.

"Sekiranya ada rezeki dalam tempoh dua jam kami berjaya mendapat 20 ekor namun ada kalanya hanya mendapat lima ekor saja untuk tempoh empat jam," katanya.

Inilah khazanah Sungai Semerak yang memberi rezeki kepada penduduk disekitarnya namun pokok pangkalnya adalah rajin dan usaha.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan