Rabu, 26 April 2017
Jenazah pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Ghaddafi, 11, selamat dikebumikan di Tanah Pekeburan Islam Felda Bukit Aping Timur
KOTA TINGGI - Jenazah pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Ghaddafi, 11, selamat dikebumikan di Tanah Pekeburan Islam Felda Bukit Aping Timur disini kira-kira jam 12.20 malam tadi.
Suasana pilu menyelubungi kediaman datuk kanak-kanak berkenaan di Felda Bukit Aping Timur ketika jenazah sampai jam 11.40 malam tadi untuk disembahyangkan di sini.
Jenazah mangsa dibawa ke rumah datuknya sejurus selesai proses bedah siasat dilakukan di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Hadir sama menyantuni keluarga Allahyarham Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Asiah Md Ariff, Adun Sedili, Rasman Ithnain, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kota Tinggi, Ishak Ismail dan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.
kira-kira 30 pelajar pusat madrasah tahfiz berkenaan yang hadir turut mengadakan majlis tahlil dan bacaan yassin di kediaman keluarga datuk Allahyarham.
Muhamad Thaqif menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.05 petang semalam ketika dirawat di Wad Dependensi Tinggi (HWD), HSI.
Terdahulu, media melaporkan kanak-kanak tersebut didakwa disebat pembantu warden sehingga hilang kedua-dua kakinya selepas dipotong akibat jangkitan kuman.