Rabu, 28 Disember 2016

TANAH MERAH, Air Terjun Lata Bijih bila senja menjelma di sinilah orang Bunian turun mandi anda tak perlu takut mereka tidak suka menganggu manusia...........................
















TANAH MERAH, KELANTAN: , Terdapat dua jeram yang dikenali umum iaitu Hutan Lipur Lata Hujan yang letaknya dalam daerah Kusial iaitu di Kampung Gual Ipoh, Tanah Merah. Namun, terdapat sebuah lagi jeram yang dikenali “Air Terjun dan Rekreasi Lata Bijih” yang dulunya dikenali Air Terjun Telaga Bijih.

Air Terjun dan Rekreasi Lata Bijih ini letaknya agak terpencil di Kampung Lawang. Pengunjung yang ingin ke Air Terjun dan Rekreasi Lata Bijih hendaklah berkenderaan melalui Jalan Persekutuan ke Jeli dan apabila tiba di Kampung Batu Gajah, pengunjung hendaklah membelok ke sebelah kiri ke Kampung Lawang sehingga tiba di kawasan jeram tersebut.

Amat tidak jelas, kenapa dinamakan Lata Bijih, adakah disebabkan kawasan berkenaan pada masa dulu sebuah tempat perlombongan logam atau sebagainya tidaklah dipastikan. Namun, amat jelas air terjun berkenaan menjanjikan suatu pemandangan menarik walaupun letaknya agak terpencil di Tanah Merah.

Aliran air di jeram ini agak sederhana, namun terdapat kolam mandi di bahagian bawah air terjun berkenaan. Bagi golongan muda mudi, mereka gemarkan menadah diri di kawasan jeram di sebelah atas termasuk air terjun itu. Namun, bagi golongan yang telah berkeluarga, memadailah mereka mandi manda dan menyelam di kawasan bawah jeram tersebut.


Di antara kemudahan yang disediakan di Air Terjun dan Rekreasi Lata Bijih ini seperti wakaf rehat, kerusi rehat, surau, tempat parkir kenderaan, air pancur, kolam mandi untuk kanak-kanak dan ruang gelongsor hingga ke dalam air serta warung makanan. Lata ini begitu terkenal sebagai tempat perkelahan dan perkhemahan badan-badan beruniform kerana keadaan tempatnya yang agak luas dan lapang.

Lazimnya, lata dan jeram ini sering menerima pengunjung setiap hari. Namun, paling ramai ketika musim cuti persekolahan dan cuti hujung minggu. Walaupun kelihatannya lata dan jeram ini agak biasa, tetapi pemandangannya agak menarik dan amat sesuai untuk beriadah bersama keluarga.

1 ulasan: