Khamis, 24 November 2016

Skuad Khas Cyber Kelantan membuat laporan polis berhubung penghinaan terhadap bakal Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V
















PASIR MAS - Skuad Khas Cyber Kelantan membuat laporan polis berhubung penghinaan terhadap bakal Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V yang dilakukan seorang lelaki menerusi laman Facebook yang menggunakan nama Rusli Johol.
Laporan tersebut dibuat oleh wakilnya, Mohd Rashdan Abdul Rahman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas semalam, kira-kira jam 3.44 petang.
Mohd Rashdan berkata, pihaknya terkilan dan terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh pemilik akaun Facebook berkenaan.
Menurutnya, sebagai rakyat negara ini, kenyataan yang ditulis itu disifatkan sebagai biadab dan menderhaka kepada sultan.
“Tujuan laporan polis ini dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut terhadap Rusli.
“Bukan itu sahaja, kita juga mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya di atas kesalahan yang dilakukan ini,” katanya.
Beliau berkata, sebagai rakyat negara ini, pihaknya juga malu dengan kenyataan yang dilemparkan oleh Rusli yang secara terang-terangan menghina sultan.
“Sultan Muhammad V yang merupakan bakal Yang di-Pertuan Agong ke-15 adalah ketua Agama Islam dan amat tidak wajar tindakan yang dilakukan ini,” katanya.
Mohd Rashdan berharap orang ramai dapat menjadikan apa yang berlaku ini sebagai pengajaran dan tidak mengulangi kesilapan tersebut.
“Saya harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan dengan menghina sultan agar ia menjadi pengajaran kepada semua,” katanya.
Katanya, tindakan itu juga sebagai cubaan menderhaka kepada sultan yang merupakan tonggak pemerintahan negeri ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan