DATUK Aliff Shukri Kamaruzaman dikenali dengan panggilan 'abang terlajak laris' dan 'datuk terlajak laris' bukan disebabkan sesuatu yang tidak elok, tetapi kerana taglinenya popularnya 'Terlajak Laris' lihat vedeo klik di sini
Ternyata, bagi pengasas produk itu tidak kisah atau berasa jengkel dengan apa saja cacian masyarakat terhadapnya, sebaliknya berbangga kerana tagline itulah yang menaikkan nama serta perniagaannya maju jaya ke tahap sekarang.
Malah, ramai masyarakat termasuk di dalam laman sosial melabelkannya sebagai lelaki lembut gara-gara penampilan dan bersuara 'kepit' dalam pengiklanan berkaitan produk kecantikan.
Aliff Shukri berkata, beliau membuat apa saja untuk membangunkan syarikatnya selepas melalui pelbagai pahit getir termasuk strategi pengiklanan sehingga orang memandang serong personalitinya.
Katanya, beliau pernah menyamar sebagai pegawai pemasaran memandangkan tidak mempunyai pekerja dan sengaja menonjolkan diri sebagai seorang model dari Pakistan dan pengasas kosmetik. Strategi itu tidak berkesan tidak berkesan.
"Saya menukar strategi muncul di televisyen dengan menggayakan watak korporat, tetapi kesannya kurang menjadi. Selama dua tahun wang dilaburkan untuk pengiklanan habis begitu saja," katanya ditemui di kediamannya, baru-baru ini.
Sebenarnya seorang yang tegas
Beliau kemudiannya mencuba nasib menerusi pengiklanan di stesen televisyen lain dengan melakukan penampilan terbaharu iaitu daripada memakai baju biasa kepada baju berkilat dan daripada suara biasa kepada suara 'kepit'.
"Ternyata, sesuatu yang pelik itulah yang menjadi bualan masyarakat dan biarpun pelbagai tohmahan diterima daripada masyarakat, namun impaknya sangat besar kepada jualan," katanya.
Menyentuh mengenai taglinenya yang kini menjadi ikutan dan bualan, katanya untuk menjadi seorang usahawan berkredibiliti, seseorang tidak perlu meniru idea orang lain.
Jika dulu tagline digunakan tidak begitu menarik, tetapi selepas menukar gaya 'nyaring' hingga membuatkan sesetengah masyarakat berasa pelik dan menjengkelkan.
Ditambah pula dengan gayanya yang seakan-akan lembut, ramai yang beranggapan beliau adalah seorang lelaki lembut.
Katanya, itu hanyalah gimik di dalam memasang strategi perniagaan dan ia menjadi. Di luar, beliau adalah seorang lelaki normal dengan perwatakan serius, kuat bekerja, cerewet, tegas dan tiada perkataan 'tidak' dalam kamus hidupnya.
"Pada saya biarlah apa orang di luar ingin mengata mengenai saya. Saya tidak bimbang sekali pun kerana mereka tidak memberi wang kepada saya. Saya lebih utamakan kepada pelanggan saya yang membeli produk D'Herbs," katanya yang memiliki tiga cahaya mata berusia dua, empat dan tujuh tahun.
Tempuhi pelbagai cabaran
Mengimbas mengenai kisah jatuh bangun perniagaannya, Aliff Syukri berkata, bukan mudah berdiri kukuh dan mendapat kepercayaan masyarakat mengenai produknya.
Katanya, semuanya memerlukan pengorbanan, keyakinan dan cabaran penuh berliku.
"Masyarakat mungkin menganggap saya bertuah atas apa dimiliki hari ini, namun sebenarnya kejayaan itu bukan semudah seperti disangkakan. Perasaan malu harus dikikis terlebih dulu," katanya.
Anak ketiga daripada 12 adik-beradik ini terpisah daripada kasih sayang ibu bapa akibat perceraian dan memaksa beliau tinggal bersama neneknya.
Bermula dari situ, beliau melalui pelbagai cabaran dan kesempitan hidup sehingga mendorongnya berusaha mencari rezeki.
Kahwin usia 19 tahun
Situasi itu tidak menjadi penghalangnya untuk menamatkan zaman bujang. Memilih berkahwin pada usia 19 tahun bersama rakan sekerjanya, Datin Nur Shahida Mohd Rashid yang ketika itu berusia 22 tahun, menjadi pembakar semangatnya untuk terus bekerja keras.
Beliau berkata, sebelum mengusahakan perniagaan kosmetik, bermacam-macam kerja dilakukan seperti menjadi pegawai perkhidmatan pelanggan, penjaga setor, model sambilan dan hampir menjadi pramugara.
Walaupun sudah bermacam-macam pekerjaan dilakukan, beliau belum merasai kepuasan. Justeru, berbekalkan minatnya dalam perniagaan, beliau cuba menjual produk kecantikan dari Thailand, Indonesia dan Filipina secara kecil-kecilan.
"Pada awal pembabitan dalam bidang perniagaan ini, saya hanya menjual kepada saudara mara dan rakan, kemudian dari rumah ke rumah. Ia dilakukan secara kecil-kecilan saja.
"Saya akui, saya memang buta teknologi dan tidak tahu persaingan di luar sana. Saya menjalankan perniagaan secara ortodoks, namun sambutan diterima sangat menggalakkan. Saya berjaya kemudian menjual produk di Pasar Tani.
"Dengan modal RM450, saya membuka sendiri khemah di Pasar Tani Seksyen 13, Shah Alam, diikuti Kelana Jaya dan Sri Andalas, Klang. Tiada istilah malu saya membuat apa saja termasuk demonstrasi memakai mekap, fesyen dan sebagainya. Saya juga buat promosi di kilang," katanya.
Selesa dan bersyukur
Malah, beliau tidak kisah menceburi bidang di dominasi wanita asal saja boleh diterima ramai. Sokongan isteri sudah mencukupi. Lama-kelamaan usahanya berhasil dan dalam tempoh dua tahun, beliau boleh membuka tiga kios menjual pelbagai produk kosmetik.
"Saya selesa dan bersyukur. Selama dua tahun mengusahakan jualan produk dari luar negara, saya terfikir kenapa tidak mencipta satu jenama buatan Malaysia. Orang Malaysia suka produk dari negara sendiri, tetapi kebanyakannya harga agak mahal.
"Saya mula menghasilkan jenama sendiri dikenali D'Herba, tetapi namanya seakan tidak glamor. Saya perlu mencipta jenama yang apabila orang dengar nampak gah tetapi pada harga berpatutan, lalu terhasilnya D'herbs," katanya.
Untuk berada di tahap ini, ia memakan masa yang lama memandangkan semuanya dilakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat nasihat profesional, iklan, membuat pinjaman bank, bantuan keluarga dan sebagainya. Beliau bermula dengan kosong.
"Ketika berniaga secara kecil-kecilan, saya mahu menggunakan strategi yang mampu menarik perhatian pelanggan. Saya memang macam makcik-makcik, tidak malu mempromosi dari rumah ke rumah untuk memperkenalkan dan mencari ahli baharu produk.
"Bukan senang meyakinkan wanita di bandar, tambahan saya baharu berusia 21 tahun boleh menjadi pengasas kosmetik," katanya.
Kini beliau boleh berbangga kerana dalam tempoh enam tahun mengusahakan perniagaan kosmetik ini, beliau kini mempunyai 100 orang pekerja, 30 cawangan, 20,000 ejen di bawahnya dan tiga spa di Ijok, Sungai Buloh, Selangor dan Senawang, Negeri Sembilan
Malah beliau bakal membina empayarnya perniagaan dan bangunan sendiri bernilai RM24 juta terletak di tengah Bandar Kota Damansara.
Sokongan isteri
Bagi Nur Shahida, beliau tidak pernah terkesan dengan pandangan dan dakwaan masyarakat bahawa beliau bersuamikan lelaki lembut.
Beliau sudah mengenali suaminya sejak bertahun-tahun dan jatuh bangun membina perniagaan serta keluarganya dilakukan bersama.
Malah, beliau tidak sekali-kali mengambil kisah apa yang diperkatakan oleh masyarakat mengenai suaminya memandangkan perwatakannya memang seperti itu.
Katanya, suaminya seorang yang suka bercakap dan di awal penampilannya yang berbeza daripada karektor sebenar sehingga ramai yang memandang negatif.
"Pernah orang cakap suami saya pondan dan bermacam-macam lagi, tetapi saya langsung tidak tertekan dengan tanggapan itu.
"Ketika muka-mula membaca banyak komen di laman sosial berkaitan karakter suami, memang terasa geram dan mahu membidas kembali dakwaan itu. Tetapi saya memikirkan buat apa nak melayannya Jika saya layan, saya juga seperti mereka.
"Jadi saya tidak suka membaca komen kerana apa yang dilakukan itu hanya gimik semata," katanya yang sudah lapan tahun berkahwin dengan Aliff Syukri.
Beliau berkata, walaupun bermacam tohmahan dilemparkan, namun beliau bersyukur kerana suaminya sangat mementingkan keluarga dan jarang untuk keluar malam dan melepak bersama rakan-rakan.
"Kebanyakan masa dihabiskan antara kerjaya dan keluarga. Biarpun sibuk pasti dia akan mencari ruang untuk bercuti bersama-sama. Jadi biarlah apa orang hendak mengata kerana saya kenal suami saya," katanya.
INFO
Nama: Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, 27
Isteri: Datin Nur Shahida Mohd Rashid, 30
Anak: Ahmad Rayyan, 7
Khatijah El Zahra 4
Ibrahim Adham 2 1/2
Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
: Pelajar sekolah pondok di Pasir Tumboh, Kelantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan