Rabu, 11 Oktober 2017

Ketua Pusat Kajian Klinikal Perak Datuk Dr Amar Singh berkata, kejadian berpunca daripada kegagalan ibu bapa memantau pergerakan anak-anak terutama ketika bercuti.


SEJUMLAH 31 kes lemas membabitkan kanak-kanak di kolam renang hotel dan taman tema dilaporkan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Ketua Pusat Kajian Klinikal Perak Datuk Dr Amar Singh berkata, kejadian berpunca daripada kegagalan ibu bapa memantau pergerakan anak-anak terutama ketika bercuti.

Menurutnya, kebanyakan ibu bapa menyifatkan lokasi terbabit sebagai tempat bersantai dan kurang menitikberatkan aspek keselamatan.

"Mereka membiarkan anak bebas bermain air tanpa memberi pemantauan yang cukup dan ini boleh mendatangkan bahaya.

"Selain itu, kegagalan pihak hotel dan teman tema menyediakan pasukan penyelamat yang cukup turut dilihat menjadi punca kepada kejadian lemas ini," katanya yang ditemui pada Seminar Pencegahan Lemas di Kolej Perubatan Pulau Pinang, Georgetown, hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) Negara, Tan Sri Lee Lam Thye.

Sementara itu, Lee berkata, pihak berkuasa perlu membina pangkalan data lengkap yang mengandungi statistik kes lemas dan maklumat berkaitan supaya pendekatan secara menyeluruh dapat diperkenalkan untuk mengurangkan jumlah kes lemas.

Menurutnya, ketika ini, data mengenai kes lemas dikumpulkan pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perangkaan dan Kementerian Kesihatan.

"Terdapat keperluan untuk menyediakan data lengkap dan saya minta semua agensi berkaitan untuk mencapai kata sepakat supaya satu protokol seragam dapat dibuat untuk pengumpulan data terperinci mengenai kes lemas.

"Pengumpulan data ini adalah langkah pertama dalam pencegahan lemas kerana ia membolehkan kita mengkaji punca dan bagaimana setiap kes lemas berlaku,”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan