LABIS – Seorang penjual daging yang sedang sibuk melayan pelanggan bagi persiapan Hari Raya Aidiladha maut selepas ditetak oleh seorang lelaki menggunakan sebilah parang di kawasan perniagaan Felda Chemplak, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Ahmad Radzi Jamaludin (gambar kecil), 40, disahkan meninggal dunia akibat cedera parah ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Labis.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, mangsa yang baru memulakan perniagaan secara tiba-tiba diserang oleh seorang lelaki berusia 45 tahun itu menggunakan sebilah parang dari arah belakang.
“Mangsa yang cuba mempertahankan diri telah mengalami kecederaan parah pada leher dan tangan akibat tetakan tersebut.
“Adik ipar dan pekerja mangsa yang berada di tempat kejadian bertindak membawa mangsa ke klinik kesihatan bagi mendapatkan rawatan namun dia disahkan meninggal dunia,” katanya di sini semalam.
Raub memberitahu, pihaknya berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Jalan Bahagia, Felda sama dan turut merampas sebilah parang panjang berukuran kira-kira 95 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk menetak mangsa.
“Kita turut merampas sebuah kereta Proton Iswara berwarna kelabu dan motosikal Modenas Kriss milik suspek selain turut masih menyiasat motif kejadian,”