Bukit Merah terletak di Utara Perak yang mana di sini terdapatnya sebuah tasik yang menyimpan pelbagai khazanah spesis marin yang dikenali sebagai Tasik Bukit Merah atau lebih dikenali dengan Kolam Bukit Merah oleh warga tempatan di sekitar tasik ini. Suatu ketika dulu, tasik ini sering menjadi lokasi bagi memburu spesis arowana bergred tinggi. Difahamkan spesis arowana yang menghuni tasik ini antara spesis yang terbaik di asia.
Bagi pemancing yang hendak bertandang ke tasik ini, mereka boleh menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan dan terus ke Bukit Merah. Tasik ini adalah dibawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran yang mana kepada pengunjung yang mahukan khidmat sewaan bot pancing boleh terus ke Jeti JPS yang terletak di Kampung Balik Bukit. Buat masa ini, hanya terdapat dua khidmat tekong iaitu Muhammad Ikhwan (Abg Wan) yang menggunakan bot 20 kaki panjang dan juga Abg Man yang menggunakan bot 13 kaki panjang. Bagi yang mempunyai bot sendiri juga boleh membawa bot sendiri dan dinasihatkan berhati-hati kerana tasik ini dipenuhi dengan batang-batang pokok tenggelam yang sukar dilihat dan juga tali-tali rawai serta pukat-pukat nelayan tempatan.
Antara spesis ikan yang mendiami tasik ini adalah terdiri daripada ikan-ikan tempatan seperti lampam, terbol, selat, kaloi, dan lain-lain lagi disamping spesis-spesis ikan pemangsa seperti sebarau, toman, kelisa, haruan, bujuk, dan juga kerandang. Difahamkan, sebelum ini, tasik ini dikatakan pernah dituba/diracun oleh pihak tidak bertanggungjawab pada tahun 90an dan kesannya banyak spesis-spesis ikan mati ketika itu dan difahamkan lokasi yang terlibat adalah disebelah Air Hitam.
Untuk makluman semua, Tasik Bukit Merah ini terbahagi kepada 2 bahagian yang mana dikenali sebagai Air Hitam dan Air Putih yang mana ianya dipisahkan dengan landasan keretapi. Di air hitam terdapat beberapa suak dan anak-anak sungai kecil dan begitu juga dengan Air Putih. Bagi pengunjung yang pernah berkunjung ke Bukit Merah Laketown Resort, resort ini terletak di sebelah Air Putih dan Pulau Orang Hutan yang mana ianya di bawah pengurusan Bukit Merah Laketown Resort juga terletak di sebelah Air Putih.
Tasik ini dilihat sangat sesuai bagi aktiviti sukan memancing sama ada pancingan dasar, mengilat, dan juga pancingan layang. Kunjungan saya ke sini mendapati aktiviti pancingan dengan menggunakan teknik mengilat dan juga pancing layang boleh membuahkan hasil. Saya berkesempatan untuk mencuba 2 teknik ini dan hasilnya cukup baik.