Isnin, 17 April 2017

sepasang suami isteri kelihatan masih meneruskan hidup dalam serba daif Ramlah Awang, 75 dan suaminya Abu Awang, 80,mempunyai 10 orang anak













  PENDANG KEDAH - Dalam meniti penghujung usia, sepasang suami isteri kelihatan masih meneruskan hidup dalam serba daif.

Ramlah Awang, 75 dan suaminya Abu Awang, 80, hidup berdua di sebuah rumah yang agak kecil.

Menurut Ramlah, meskipun tinggal berdua, anak-anaknya yang tinggal berdekatan sering menghantar makanan untuk dia dan suami.


"Anak-anak mak cik akan hantar makanan setiap hari sebab di rumah mak cik tiada barang untuk dimasak tambahan pula mak cik sendiri tidak sihat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Rawa Dalam, Pendang, hari ini.
Pasangan ini mempunyai 10 orang anak yang hanya bekerja sendiri dan ada dalam kalangan mereka bekerja kilang.

"Kesemua mereka sudah berkahwin dan mempunyai tanggungjawab masing-masing," katanya.

Menurut Ramlah, suaminya merupakan pemegang sijil pesakit mental sejak 30 tahun lalu.

"Suami selalu merayau sekitar kampung dan ada ketika dia pernah dilanggar pada waktu malam.

"Sebelum berkahwin, suami seorang yang normal dan saya sendiri tidak mengetahui punca semua ini berlaku," katanya.

Sementara itu, menantu Ramlah, Khazir Ramli, 52 berkata, dia yang tinggal berhampiran hanya membantu setakat mampu.

"Saya hanya menoreh getah dan perlu menanggung perbelanjaan anak dan isteri.

"Saya sangat sedih melihat kedudukan ibu bapa mertua yang sangat daif dengan tidur berlantaikan simen.

"Jika ada pihak yang sudi membelikan mereka tilam itu sudah memadai bagi saya," ujarnya.

Pasangan ini dikatakan mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150 setiap bulan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Khazir di talian 019-5150292