Isnin, 27 Februari 2017

KUBANG KERIAN - Misteri penunggu kubur Tok Lipat Tujuh. usia kubur tersebut dianggarkan kira-kira 300 tahun Tok Lipat Tujuh hidup ketika zaman Puteri Sa'adong pada tahun 1715



      KUBANG KERIAN, KELANTAN:  KUBUR adalah satu alam yang memisahkan antara manusia yang hidup dan telah meninggal dunia. Tempat itu juga disebut sebagai dunia sementara bagi makhluk Allah yang bernama manusia dan dalam masa yang sama sebagai tempat perhitungan amalan sama ada ke syurga atau neraka. Dalam konteks kubur juga, terdapat kubur biasa dan kubur luar biasa yang dianggap misteri oleh sesetengah pihak berikutan ilmu dan amalan yang dilakukan semasa hayatnya agak berbeza dari kebanyakan orang.
     Disebabkan ramai manusia yang alpa, menyebabkan wujudnya makam dan kubur-kubur lama di mana ada di antaranya kubur bersejarah tetapi tidak dipedulikan malah terbiar begitu sahaja sehingga ditumbuhi hutan belukar dan semak-samun. Salah satu pusara lama dianggap bersejarah dan terbiar ialah kubur Tok Lipat Tujuh atau digelarkan penduduk tempatan sebagai Tok Panjang Tujuh.
                               Wan Alias Wan Abdullah atau  Paksu Wan bergambar 
                                               di pusara Tok Lipat Tujuh.

       Wan Alias Wan Abdullah,  atau lebih dikenali sebagai Paksu Wan dari Kampung Pulau Masjid, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan menjelaskan, beliau tidak pernah diberitahu kisah dan asal usul sehinggakan Tok Lipat Tujuh atau Tok Panjang Tujuh digelarkan orang kerana tidak pernah diceritakan oleh arwah ibu bapanya. Namun, dari cakap-cakap beberapa penduduk asal dan warga emas di kampung itu yang pernah didengarinya mendakwa arwah Tok Lipat Tujuh agak panjang semasa hendak disemadikan di salah sebuah tanah perkuburan yang terletak dalam kawasan tanah ahli keluarganya di kampung itu yang kadang-kadang bentuknya akan berubah mengikut peredaran masa.
         Tambah Paksu Wan lagi, dari kiraannya usia kubur tersebut dianggarkan kira-kira 300 tahun. Beliau tidak pasti arwah hidup di zaman siapa, namun dari cerita yang pernah didengarinya dari beberapa orang penduduk beliau percaya, Tok Lipat Tujuh hidup ketika zaman Puteri Sa'adong pada tahun 1715 lagi.
      Cerita Paksu Wan seterusnya, semenjak Tok Lipat Tujuh meninggal dan dikebumikan di tanah perkuburan di kampung itu sehinggalah beliau dilahirkan dan masih dalam usia kanak-kanak, kejadian-kejadian aneh dan misteri yang dikaitkan dengan kubur Tok Lipat Tujuh bagaikan sudah sebati dengan kehidupan beberapa orang penduduk Kampung Pulau Masjid itu kerana terdapat di antara mereka yang pernah terkena sakat ekoran bermain-main di persekitaran tanah perkuburan terbabit.
      Pada zaman dahulu, arwah kakak Paksu pernah melihat dari arah kubur tersebut satu lembaga bertubuh sasa, kepalanya panjang dan rambutnya jarang, manakala tubuhnya pula dipenuhi panau dapat dilihat dengan jelas ketika hujan panas turun", ujar Paksu Wan menceritakan pengalaman arwah kakaknya yang pernah melihat rupa paras Tok Lipat Tujuh sewaktu hujan panas turun di kubur tersebut sewaktu ketika dahulu.
                               Ahli keluarga Paksu Wan turut serta menjejak 
                                         pusara ahli    keluarganya.

      banyak lagi kejadian misteri yang pernah berlaku sewaktu ketika dahulu. Di antaranya seorang penduduk asal kampung tersebut yang dikenali sebagai Nik Yaacob atau dipanggil juga Pak Nik Kob, seorang pekerja mengambil upah memanjat kelapa yang tumbuh subur berdekatan kubur Tok Lipat Tujuh turut mengalami peristiwa yang agak aneh sewaktu beliau sedang memetik buah-buah kelapa tersebut. Buah-buah kelapa yang berjaya dipetik itu dicampakkan ke bawah malah ada yang bergolek ke arah kubur tersebut. Setelah agak banyak, Pak Nik Kob mengumpul kesemua buah-buah kelapa untuk dipungut dan dibawa pulang.
        Semasa sedang mengumpul buah-buah kelapa tersebut, Pak Nik Kob dapat merasakan bahawa beliau seolah-olah sedang berada di lereng sebuah bukit, sedangkan pada hakikatnya beliau pada masa itu sedang berada di kawasan tanah perkuburan yang agak rata. Pengalaman beliau itu kemudiannya diceritakan kepada seluruh jemaah masjid di kampung tersebut. Daripada ceritanya itu menyebabkan orang ramai mentertawakannya kerana menganggap Pak Nik Kob seperti tidak siuman berikutan dakwaannya yang kononnya tanah yang agak rata dikatakan berbukit. Selepas seminggu daripada peristiwa itu, beliau dilaporkan meninggal dunia.
        Menurut Paksu Wan lagi, Pakcu Him yang bekerja sebagai penyadat air nira kelapa turut mengalami peristiwa ngeri ketika berada di tanah perkuburan Tok Lipat Tujuh. Beliau yang tidak berpuas hati disebabkan banyak pohon kelapa didapati telah pupus dan tidak lagi mengeluarkan hasil nira sebagaimana yang diharapkannya, beliau bagaikan tidak sabar lalu meraung dan membuat bising di situ seolah-olah ingin melepaskan geram. Akibat tindakannya yang membuat bising di situ, menyebabkan beliau disakat apabila dengan tiba-tiba beberapa pelepah kelapa yang agak besar seperti dilontarkan oleh seseorang ke arahnya dari kubur tersebut. Setelah diamati, tidak ada sesiapa di tempat itu kecuali beliau seorang sahaja.
   

1 ulasan:

  1. Artikel dan Foto dalam blog ini adalah artikel dan foto asal saya yang diambil tanpa izin.

    BalasPadam